10.25.2008

SEBAIK-BAIK REZEKI IALAH MAKANAN YANG HALAL

Saiyidina Ali bin Abu Talib bukan sahaja terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah berani tetapi juga seorang yang tabah menghadapi kesusahan dan perjuangan hidup.


Pernah pada suatu ketika beliau menceritakan kisah penderitaannya menahan lapar yang tidak terperi. Makanan yang terdapat dirumahnya sudah kehabisan. Lalu beliu pun pergi lah kedesa-desa di Madinah untuk mencari pekerjaan yang mungkin menghasilkan sedikit rezeki.


Tatkala beliau sampai tempat disuatu desa Saiyidina Ali r.a pun bertemu seorang wanita yang sedang hendak membasahkan batu-batanya. Beliau meminta supaya memberikan pekerjaan itu kepadanya dengan upah sebiji kurma pada setiap timba yang ditimbakan.


Sesudah cukup enambelas timba yang beliau timbakan maka Saiyidina Ali r.a pun melihat tangannya yang terkupas. Kerana itu beliau pun berhenti dan menghulurkan tangannya kepada wanita itu untuk memperoleh upahnya. Setelah dihitung enam belas biji kurma, beliau pun segera pulang ke rumahnya. Setibanya dirumah Saiyidina Ali r.a mendapati Rasulullah s.a.w. ada di dalamnya lalu beliau pun menceritakan perihal dirinya itu.


Mendengar kisahnya itu Rasulullah s.a.w merasa gembira sekali lalu makan bersama-sama rezeki yang halal itu dengan Saiyidina Ali r.a. Rasulullah kemudian bersabda, " Sebaik-baik rezeki ialah yang diperolehi seseorang dengan jalan yang halal dan bersih."

10.21.2008

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot


Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Terapi solat

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my




KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.


Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

10.17.2008

Akibat Orang Yang Berniat Khianat terhadap ISLAM

Semasa hidupnya Rasulullah s.a.w. pernah terjadi mayat seorang Kristian telah terbongkar keluar dari Kuburnya. Anas r.a. meriwayatkan;

"Ada seorang beragama Kristian yang telah memeluk Agama Islam dan membaca Surah Al-Baqarah dan Al-Imran serta kerap menuliskan wahyu bagi Rasulullah s.a.w. Tetapi kemudian orang itu telah kembali murtad semula kepada ugama kristian lalu berkata, "Muhammad tidak tahu apa pun yang aku tulis untuknya."

Kemudian Allah telah mematikan penulis tersebut, lalu dikebumikan. Akan tetapi apa yang terjadi ialah pada siang hari esoknya mereka terperanjat apabila mendapati mayat yang orang yang mati itu terkeluar dari kuburnya seolah-olah bumi tidak mahu menerima mayat itu.

Mereka lalu berkata, "Ini tentunya perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Merekalah yang membongkar kubur sahabat kita dan mengeluarkan mayatnya kerana dia telah berpaling tadah daripadanya." Maka Mereka pun menggali lubang kubur lebih dalam lagi untuk mengkebumikannya sekali lagi. Tetapi pada keesokan harinya mayat itu sekali lagi telah terkeluar dari kuburnya. Mereka lalu berkata," Ini tentunya perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya ." Lalu mereka pun menggali lubang kubur kali ketiganya sedalam yang dapat meraka berbuat tetapi pada keesokan harinya masih juga mencampakkan mayat itu keluar. Akhirnya mereka pun percaya bahawa apa yang terjadi keatas orang Kristian itu bukanlah perbuatan manusia hingga mereka terpaksa membiarkan sahaja mayat itu diatas kuburannya."

Kisah ini ada tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.








10.15.2008

KELDAI YANG BERKATA-KATA KEPADA NABI.

Pada suatu hari, seekor keldai telah pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata, "Ya Rasulullah! Allah Yang Maha Besar telah menambahkan bilangan keluarga kami sebanyak enam puloh ekor jumlahnya. Setiap seekor Tuan telahpun menunggangnya. Hanya aku saja yang belum Tuan tunggangi. Maka itu sudilah Tuan menunggangi aku pula. Aku lebih suka Tuan menjaga aku daripada penjaga aku sendiri?"

"Kenapa kau berkata begitu, hai keldai?"

Maka menjawabnya,"Kerana penjaga aku itu tidak menjaga aku dengan betul dan sentiasa membiarkan aku lapar."

"Siapa penjaga kau, hai keldai yang malang?"

Keldai itu pun menjawabnya,"Yazid Bin Shahab."

Maka Rasulullah s.a.w pun berkata kepadanya, "Mulai hari ini aku namakan engkau Yafoor."

Semenjak hari itu nasib keldai itu pun berubah. Apabila Rasulullah s.a.w wafat, keldai itu pun sangat sedih sekali seolah-olah enggan berpisah dengan Rasulullah. Ia kemudian telah jatuh sakit dan kemudiannya terjatuh kedalam perigi lalu mati.



10.09.2008

TAHUKAH ANDA APA YANG MENCANTIKKAN WAJAH?

Al Ahnaf Bin Qais tergolong seorang ulama yang terkenal di zaman hidupnya. Pada suatu hari datang seorang pemuda dari Suku Taiyi berkunjung kerumahnya. Rumah Al Ahnaf memang saban hari diziarahi oleh ramai murid-murid dan sahabat-sahabatnya. Mereka sekaliannya menziarahinya dengan tujuan peroleh pengajaran darinya.

Kedatangan pemuda dari suku Taiyi itu sangat menarik perhatian ulama besar ini. Al Ahnaf dapati pemuda itu sangat tampan serta kacak lalu ia pun bertanya, katanya:

"Wahai orang muda, adakah engkau menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"

"Benar Tuan, sungguh ada saya hiasi wajah sayan dengan sesuatu," ujarnya sopan dan pendek, lalu menyambung.

"Kalau saya bercakap, tidak berbohong, kalau ada orang sedang bercakap, saya dengar, kalau saya berjanji saya tepati dan kalau saya diberikan satu amanah, tidak saya khianati."

Mendengar jawapan yang bernas itu maka berkatalah Al Ahnaf sambil memuji:

"Benar seperti katamua hai orang muda. Sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan sari akhlak yang terpuji."


10.08.2008

Assalamualaikum



Bismillah Hirrahman Nirrahim,


Assalamualaikum Wa'rahmatullahi Wabaraktuh & Selamat dan Salam Sejahtera.

Alhamduli'llah, segala pujian-pujian bagi ALLAH,
Selawat dan Salam keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Dengan tawakal kepada Allah, ada pun penghasilan pembuatan blog ini,
adalah bertujuan semata-mata untuk menjebar luaskan ilmu pengetahuan
khasnya dalam bidang ugama khususnya ugama Islam.

Insya Allah, sama-sama lah kita berdoa mudah-mudahan dengan ada blog ini,
sekurang-kurangnya akan menambahkan ilmu agama kita semua. Amin ya'rabul
alamin.

Sebarang komen adalah sangat-sangat dialukan jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam blog ini.

Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat taufik dan hidayah dari Allah jua.
Amin.


Sekian yang ikhlas,

Haji Saini
Brunei.