10.25.2008

SEBAIK-BAIK REZEKI IALAH MAKANAN YANG HALAL

Saiyidina Ali bin Abu Talib bukan sahaja terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah berani tetapi juga seorang yang tabah menghadapi kesusahan dan perjuangan hidup.


Pernah pada suatu ketika beliau menceritakan kisah penderitaannya menahan lapar yang tidak terperi. Makanan yang terdapat dirumahnya sudah kehabisan. Lalu beliu pun pergi lah kedesa-desa di Madinah untuk mencari pekerjaan yang mungkin menghasilkan sedikit rezeki.


Tatkala beliau sampai tempat disuatu desa Saiyidina Ali r.a pun bertemu seorang wanita yang sedang hendak membasahkan batu-batanya. Beliau meminta supaya memberikan pekerjaan itu kepadanya dengan upah sebiji kurma pada setiap timba yang ditimbakan.


Sesudah cukup enambelas timba yang beliau timbakan maka Saiyidina Ali r.a pun melihat tangannya yang terkupas. Kerana itu beliau pun berhenti dan menghulurkan tangannya kepada wanita itu untuk memperoleh upahnya. Setelah dihitung enam belas biji kurma, beliau pun segera pulang ke rumahnya. Setibanya dirumah Saiyidina Ali r.a mendapati Rasulullah s.a.w. ada di dalamnya lalu beliau pun menceritakan perihal dirinya itu.


Mendengar kisahnya itu Rasulullah s.a.w merasa gembira sekali lalu makan bersama-sama rezeki yang halal itu dengan Saiyidina Ali r.a. Rasulullah kemudian bersabda, " Sebaik-baik rezeki ialah yang diperolehi seseorang dengan jalan yang halal dan bersih."